Tuesday, August 3, 2010

Sunday, August 1, 2010

Dugaan satu kekurangan atau satu kelebihan

Keluhan demi keluhan dihembuskan dari mulut-mulut mereka yang menghadapi dugaan, samada dugaan itu kecil dan apatah lagi apabila tiba dugaan yang lebih hebat. Kesengsaraan, kekecewaan, kesakitan dan kefakiran adalah tanggapan yang sering diterjemahkan bagi mendefinisikan apakah itu dugaan. Dugaan dianggap sebagai satu penyakit manakala kesenangan pula sebagai penawar bagi setiap dugaan yang kunjung tiba. Hakikatnya, kesenangan bukanlah bertindak sebagai penawar tetapi hanya bertindak seperti ubat penahan sakit. Tidak dinafikan dengan kesenangan manusia dapat hidup dengan selesa, mewah, gembira dan penuh dengan kelapangan masa. Namun begitu, meskipun sehebat mana pun kesenangan manusia ketika di dunia, kesenangan yang dimiliki mereka pasti mempunyai garisan penamat iaitu ajal. Namun bagaimanakah pula dengan dugaan? Sudah tentu Allah tidak menciptakannya dengan sia-sia dan mempunyai hikmah yang tersendiri.

Wahai sahabat sekalian, ketahuilah....

1) Tidak ada kelebihan Islam itu berbanding agama lain tanpa dugaan.
Bersama-sama agama Islam kita dianugerahkan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan utama umat Islam. Intipatinya antara lainnya mengajar manusia tentang hakikat kehidupan di dunia yang hanya merupakan persinggahan sementara manusia manakala kehidupan di akhirat pula menjanjikan kehidupan yang terjamin dan bersifat abadi. Dugaan yang datang membuatkan umat Islam sanggup berkorban apa sahaja dengan meninggalkan harta, pangkat, keluarga, bahkan nyawa demi mempertahankan agama Islam yang tercinta dan mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah.


2) Tidak dikagumi para rasul-rasul dan nabi-nabi tanpa dugaan.
Antara kehebatan dan kelebihan insan yang bergelar utusan Allah s.w.t adalah dari segi kesabaran, kecekalan, ketabahan dan kebijaksanaannya dalam menempuh dugaan yang datang dengan penuh hikmahnya. Bayangkan jika tidak wujud dugaan untuk mereka, sukar sekali bagi mereka untuk mendapat tempat di hati umat Islam sebagai qudwatul hasanah (role model).


3) Tidak diketahui siapakah muslimin sejati tanpa dugaan.
Umat Islam sentiasa terdapat di dalamnya sekelompok manusia yang hanya bertopengkan Islam walhal mereka tidak beriman dan memusuhi Islam. Mereka adalah dalam kalangan orang yang memusuhi Islam dan kelompok yang hipokrit bersama-sama Islam iaitu al-Munafiq. Mereka hanya bersama-sama umat Islam ketika senang tetapi melupakan dan meninggalkan Islam di ketika umat Islam menghadapi kesukaran yang dikenal sebagai dugaan.


4) Tidak hebat lagi dakwah Islamiah tanpa dugaan.
Islam itu sangat indah dan keindahannya sentiasa menjadi daya tarikan untuk mendekatinya. Jika Islam itu indah, dugaan pula menjadi sebahagian daripada keindahan Islam itu sendiri. Islam mendidik umatnya untuk sentiasa menerima kunjungan dugaan dengan penuh kesabaran dan keredhaan di dalam hati. Dugaan yang datang sepatutnya dianggap sebagai satu kurniaan dari Allah untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya dan sebagai satu peluang untuk mempamerkan imej atau keistimewaan orang Islam yang kalis terhadap dugaan sebaliknya dengan dugaan mereka menjadi lebih kuat dan kukuh memegang panji-panji Islam.


5) Tidak ada manusia di Syurga tanpa dugaan.
Syurga Allah sudah tentu untuk memasukinya bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan bayaran yang mahal. Dugaan demi dugaan perlu dihadapi dengan penuh keredhaan dan kesabaran sehingga berakhir dengan kematian. Tahap dugaan yang berjaya ditempuhi dengan ikhlas dan sabar akan menjadi suatu bekalan yang baik di akhirat kelak yang seterusnya akan cenderung membawa mereka ke Syurga Allah. Jika tiada dugaan untuk manusia, tiada lagi kepentingan diciptakan manusia beserta akal fikiran juga tiada lagi guna diciptakan manusia mempunyai naluri dan perasaan juga hawa nafsu. Bahkan tiada lagi guna diciptakan manusia di bumi dengan segala kesempurnaannya dan keistimewaannya selain diuji dengan dugaan. Dugaan yang membawa manusia ke Syurga iaitu sebuah tempat yang hanya layak dihuni oleh mereka yang berjaya menghadapi segala ujian semasa berada di dunia.

Tuesday, July 6, 2010

Bumi bertuah, di sini atau di sana?

Bumi Palestin bernasikan peluru berlaukkan bom.
Bermandikan darah saudara-mara juga keluarga.
Bumi Palestin hari demi hari dikunjunggi tetamu
Tetamu haram, menetap di Palestin melakukan kerosakkan.
Si anak berkata hari ini aku belajar berkaitan keamanan di sekolah.
Malangnya hari ini juga aku dibuang sekolah, sekolahku dibedil bom sehingga hancur musnah.
Si ibu memujuk, tenang wahai anakku kerana tidak lama lagi kita akan berpindah.
Mungkin esok atau lusa kita berada di tempat yang sangat indah. (syurga)
Pemimpinnya menyuntik semangat, sabar wahai rakyatku juga tenteraku.
Teruskan berjuang ke titisan darah terakhir, kita adalah rakyat bertuah di negara yang bertuah.
Allah memilih kita menjadi tentera di barisan hadapan memelihara maruah umat Islam, masjidil al-Aqsa.
Tentera barisan hadapan sudah pasti terpilih dalam kalangan umat Islam yang gagah juga tabah.
Jangan bimbang wahai rakyatku, janji Allah itu pasti, berita gembira buat para syuhada adalah syurga.
Di sana, kita hidup kekal abadi bertemankan bahagia tanpa rasa tergangu.

Firman Allah,
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" (Surah al-Baqarah: 214)

Monday, July 5, 2010

Alam semesta fitrah diciptakan manusia berakal

Setiap manusia normal yang dilahirkan sudah pasti mempunyai sebuah teknologi yang canggih, teknologi tersebut tidak mampu ditukar ganti juga tidak mampu diterokai oleh alatan-alatan sains moden abad ke-21. Bahkan adalah mustahil untuk diterokai sama sekali rahsia kejadiannya. Sebaliknya, berteraskan teknologi inilah manusia meneroka segenap pelusuk ilmu yang terdapat di dunia. Ilmu yang diperolehi seharusnya menjadikan manusia kembali kepada fitrah bertuhan dan mengiktiraf Allah sebagai tuhan pencipta alam semesta. Teknologi canggih yang dimaksudkan ialah akal.

Sebagaimana diperjelaskan di dalam firman Allah, "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal." (Surah Ali-'Imran: 190). Antara hikmah diciptakan akal ialah untuk berfikir iaitu memikirkan tentang kewujudan pencipta berdasarkan apa yang terdapat di sekeliling mereka. Mungkin terdapat di antara mereka yang mengatakan: "Apa yang ada di sekeliling kami? Langit, bumi, tumbuh-tumbuhan dan apa pula kaitannya dengan kewujudan tuhan?" Persoalan ini akan terjawab sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan teliti dalam mengamati alam semesta ini.

Di bumi, dibekalkan pelbagai jenis udara iaitu oksigen, karbon dioksida, hidrogen dan beberapa lagi kandungan udara yang kesemuanya adalah seimbang dan ideal untuk kehidupan di bumi. Dengan bekalan udara tersebut manusia dapat meneruskan hidup mereka dan mencari sumber rezeki tanpa rasa tergangu. Sekiranya salah satu kandungan udara tersebut tidak wujud atau terdapat udara yang beracun seperti karbon monoksida dalam kuantiti yang berlebihan di bumi sudah pasti manusia tidak dapat bertahan lama di bumi. Namun sebaliknya, hal sedemikian tidak terjadi di bumi kerana manusia dapat hidup dengan selamat dan tenteram sehingga ke hari ini.

Di langit, terdapat 7 lapisan atmosfera yang setiap satunya memainkan peranan penting membentuk sistem protektif yang diciptakan khas untuk kehidupan di atas muka bumi. Antara tugas lapisan tersebut antaranya ialah membantu proses pembentukan awan, menghalang sinaran ultra ungu dan cebisan tahi bintang daripada membinasakan bumi serta segala isian yang terdapat padanya. Sekiranya lapisan atmosfera gagal menghalang kemasukkan tahi bintang ke bumi, hari ini tidak dapat lagi dibezakan struktur bumi dan bulan kerana keadaan kedua-duanya adalah sama iaitu penuh dengan kawah-kawah besar akibat dihentam tahi bintang. Manusia juga tidak lagi bernyawa dalam keadaan tersebut. Kejadian awan yang menurunkan hujan juga amat mengagumkan. Hujan tidak diturunkan dalam bentuk pepejal juga tidak diturunkan dalam bentuk air yang mencurah-curah. Bahkan, kejadian hujan yang begitu sempurna dalam bentuk titisan dan terkandung di dalam setiap titisan hujan kandungan mineral yang penting untuk kesuburan tanam-tanaman. Kejadian ini semua berlaku di dalam sebuah sistem lapisan atmosfera yang kompleks juga dikenali sebagai langit bumi.

Kesemua kejadian ini adalah bukti wujudnya satu pencipta dengan penciptaan yang penuh kesempurnaan. Tidak dapat diterima oleh pemikiran akal yang logik bahawa alam semesta ini tiada penciptanya dan penjaganya. Kerana setiap kesilapan kecil atau kecacatan dalam aturan alam semesta ini mengundang padah kepada seluruh kehidupan di dalamnya atau dalam kata lain alam semesta ini terlalu kompleks seolah-olah penciptaanya dirancang dengan teliti tanpa sebarang kecuaian. Contohnya, jarak kedudukan matahari dan bumi yang ditetapkan adalah ideal dengan penuh ketepatan dan sekiranya berubah hanya beberapa sentimeter dari jarak asalnya sudah cukup membinasakan bumi serta kehidupan yang ada padanya. Hal ini membuatkan kebanyakkan ahli-ahli sains binggung memikirkannya dan membuatkan mereka pada akhir abad ke-20 mengiktiraf wujudnya pencipta yang mencipta alam semesta ini dan menyangkal pendapat-pendapat ahli sains abad ke-18 (kebanyakkannya tergolong dalam kalangan penyokong teori Darwin yang diciptakan oleh seorang saintis veteran yang bernama Charles Darwin) yang mengatakan alam semesta terjadi dengan sendirinya.

والله اعلم

Sunday, July 4, 2010

Projek pembinaan blog sedang dijalankan. Harap maaf.