Monday, July 5, 2010

Alam semesta fitrah diciptakan manusia berakal

Setiap manusia normal yang dilahirkan sudah pasti mempunyai sebuah teknologi yang canggih, teknologi tersebut tidak mampu ditukar ganti juga tidak mampu diterokai oleh alatan-alatan sains moden abad ke-21. Bahkan adalah mustahil untuk diterokai sama sekali rahsia kejadiannya. Sebaliknya, berteraskan teknologi inilah manusia meneroka segenap pelusuk ilmu yang terdapat di dunia. Ilmu yang diperolehi seharusnya menjadikan manusia kembali kepada fitrah bertuhan dan mengiktiraf Allah sebagai tuhan pencipta alam semesta. Teknologi canggih yang dimaksudkan ialah akal.

Sebagaimana diperjelaskan di dalam firman Allah, "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal." (Surah Ali-'Imran: 190). Antara hikmah diciptakan akal ialah untuk berfikir iaitu memikirkan tentang kewujudan pencipta berdasarkan apa yang terdapat di sekeliling mereka. Mungkin terdapat di antara mereka yang mengatakan: "Apa yang ada di sekeliling kami? Langit, bumi, tumbuh-tumbuhan dan apa pula kaitannya dengan kewujudan tuhan?" Persoalan ini akan terjawab sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan teliti dalam mengamati alam semesta ini.

Di bumi, dibekalkan pelbagai jenis udara iaitu oksigen, karbon dioksida, hidrogen dan beberapa lagi kandungan udara yang kesemuanya adalah seimbang dan ideal untuk kehidupan di bumi. Dengan bekalan udara tersebut manusia dapat meneruskan hidup mereka dan mencari sumber rezeki tanpa rasa tergangu. Sekiranya salah satu kandungan udara tersebut tidak wujud atau terdapat udara yang beracun seperti karbon monoksida dalam kuantiti yang berlebihan di bumi sudah pasti manusia tidak dapat bertahan lama di bumi. Namun sebaliknya, hal sedemikian tidak terjadi di bumi kerana manusia dapat hidup dengan selamat dan tenteram sehingga ke hari ini.

Di langit, terdapat 7 lapisan atmosfera yang setiap satunya memainkan peranan penting membentuk sistem protektif yang diciptakan khas untuk kehidupan di atas muka bumi. Antara tugas lapisan tersebut antaranya ialah membantu proses pembentukan awan, menghalang sinaran ultra ungu dan cebisan tahi bintang daripada membinasakan bumi serta segala isian yang terdapat padanya. Sekiranya lapisan atmosfera gagal menghalang kemasukkan tahi bintang ke bumi, hari ini tidak dapat lagi dibezakan struktur bumi dan bulan kerana keadaan kedua-duanya adalah sama iaitu penuh dengan kawah-kawah besar akibat dihentam tahi bintang. Manusia juga tidak lagi bernyawa dalam keadaan tersebut. Kejadian awan yang menurunkan hujan juga amat mengagumkan. Hujan tidak diturunkan dalam bentuk pepejal juga tidak diturunkan dalam bentuk air yang mencurah-curah. Bahkan, kejadian hujan yang begitu sempurna dalam bentuk titisan dan terkandung di dalam setiap titisan hujan kandungan mineral yang penting untuk kesuburan tanam-tanaman. Kejadian ini semua berlaku di dalam sebuah sistem lapisan atmosfera yang kompleks juga dikenali sebagai langit bumi.

Kesemua kejadian ini adalah bukti wujudnya satu pencipta dengan penciptaan yang penuh kesempurnaan. Tidak dapat diterima oleh pemikiran akal yang logik bahawa alam semesta ini tiada penciptanya dan penjaganya. Kerana setiap kesilapan kecil atau kecacatan dalam aturan alam semesta ini mengundang padah kepada seluruh kehidupan di dalamnya atau dalam kata lain alam semesta ini terlalu kompleks seolah-olah penciptaanya dirancang dengan teliti tanpa sebarang kecuaian. Contohnya, jarak kedudukan matahari dan bumi yang ditetapkan adalah ideal dengan penuh ketepatan dan sekiranya berubah hanya beberapa sentimeter dari jarak asalnya sudah cukup membinasakan bumi serta kehidupan yang ada padanya. Hal ini membuatkan kebanyakkan ahli-ahli sains binggung memikirkannya dan membuatkan mereka pada akhir abad ke-20 mengiktiraf wujudnya pencipta yang mencipta alam semesta ini dan menyangkal pendapat-pendapat ahli sains abad ke-18 (kebanyakkannya tergolong dalam kalangan penyokong teori Darwin yang diciptakan oleh seorang saintis veteran yang bernama Charles Darwin) yang mengatakan alam semesta terjadi dengan sendirinya.

والله اعلم

0 comments:

Post a Comment